Bagaimana Mengawal Berat Badan Anak

Posted by Ruqayyah 13/08/2017 0 Comment(s)

Datang sebuah keluarga nukleus ke klinik diet. Niatnya untuk dapatkan kaunseling mengurangkan berat anak yang berusia lima tahun.

Umur lima tahun. Sama berat dengan saya yang umur 35 tahun. 
Dalam masa lima bulan, berat naik hampir 7kg. Lebih kurang sekilo lebih sebulan.

Anak ini, tiada junk food. Apatah lagi snek dan minuman manis. Semua sudah disukat ibu ayah. Sayur dan buah pun makan belaka. Banyak pula tu.

Namun puncanya lebih kepada lauk yang banyak dan berminyak, serta nasi yang banyak dan kerap. Satu hari 4-5 kali nasinya. 
Pantang nampak orang makan, dia pasti mahu makan.

Jika anak begini, tidak diberi makan bahaya. Dia akan makan secara sembunyi atau bila dapat makan akan ambil dengan banyak. Umpama makan untuk ganti pada masa dia tak dapat makan. Secara psikologi nya, anak yang ditahan-tahan makannya, akan makan lebih banyak lagi apabila dapat makanan.

Apa saya sarankan ibunya adalah. Masak nasi cukup cukup supaya tidak boleh menambah lagi. Beri sekadar porsi yang saya sudah kirakan untuk sekali makan. Sedikit tapi kerap tak apa.

Gunakan pinggan yang kecil
Dalam kelas Child Nutrition yang saya ambil, katanya saiz pinggan memainkan peranan kepada pengambilan makanan anak.

Pinggan besar akan mengundang lebih banyak jumlah makanan yang diletakkan. Sekiranya anak mahu dihadkan makan, gunakan pinggan yang kecil. Tetapi jika anak kurang makan, gunakan pinggan yang besar. Supaya nampak penuh isinya.

Begitu juga dengan gelas. Gelas yang bulat dan besar isi dengan air kosong sahaja. Tetapi untuk air manis. Isi dengan gelas kecil saiznya. 
Mentaliti anak, mahu air diisi mesti penuh. Sekiranya gelas besar diisi air manis dengan banyak, bertambah tinggi kalori yang diambil.

Gunakan tapak tangannya bagi menentukan saiz hidangan lauk yang boleh diambil. Suruh mereka sukat saiz lauk yang hendak diambil dengan tapak tangan mereka.

Berikan pilihan lauk yang kurang berminyak dan bergoreng. Lebihkan kuah sup atau tumis air yang tidak berminyak.

Amalkan sayur separuh pinggan dan pastikan buah diambil setiap kali makan agar mereka kenyang dan tidak makan berlebihan nasinya.

Dan yang terakhir. Pastikan tiada snek di rumah yang tinggi garam dan gula serta lemak. Jika. Mahu beli biskut manis, berikan pek kecik sahaja. Psikologi anak, selagi tidak habis mereka akan makan biarpun sudah kenyang dan penuh.

Masukkan anak ke kelas berenang atau takewondo yang mempunyai latihan secara rutin setiap minggu. Sekadar bermain basikal atau bola di rumah setiap petang tidak berkesan kerana ada tika nya hari hujan, tiada langsung aktiviti fizikal berlaku sepanjang minggu.

Anak itu anak kita. 
Kawal Makannya, kawal aktivitinya dari kecil. 
Umur dua tiga tahun nampak sudah berlebihan berat badan, dapatkan bantuan. 
Usah dibiarkan mereka terus naik dan naik lagi.

 

Ruqayyah Muhd
Dietitian Kanak-Kanak Anda.

Loading...
Loading...